Tuesday, December 18, 2012

Selamat Pagi



Sarapan atau alas perut, makanan pagi amat penting dalam kehidupan. Sarapan bagai baja kepada kehidupan tumbuhan. Begitulah juga manusia yang memerlukan sarapan pada setiap pagi. 

Otak atau minda sangat memerlukan sarapan pagi bagi merangsang pemikiran ke arah pembelajaran yang lebih cemerlang di sekolah. Sarapan pagi dikatakan dapat mencergaskan minda jika dijadikan sebagai rutin harian yang penting untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

Pakar pemakanan sependapat bahawa mengambil sarapan adalah sumber pertama untuk memulakan kehidupan seharian, sekali gus mencergaskan minda. Kajian terbaru menunjukkan orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.

Pemilihan sarapan terutamanya yang kaya dengan karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

Malangnya, ramai yang meninggalkan sarapan dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat kerana bangun lambat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca untuk mengetahui rahsia di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil sarapan.
Ada saintis yang menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental. Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak – lebih cergas, peka dan fokus.

Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau di tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan sekeping roti dan secawan kopi.

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesan lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan baik.

No comments:

Post a Comment